Rabu, 23 Jun 2010

AKTIVITI BULAN JULAI

Assalamualaikum! Sudah agak lama juga saya tidak menulis di laman blog ini dek kerana kekangan masa dan hambatan tugas yang tidak putus-putus. Tambahan pula kehilangan laptop menyebabkan ruang masa untuk saya mencoret di ruangan ini amat terbatas. Semua kerja yang melibatkan menaip hanya boleh dilakukan di pejabat sahaja. Namun demikian demi tanggungjawab menyampaikan maklumat terkini daripada Unit Operasi Dakwah dan juga info PEKDIS, sya gagahi juga untuk menulis pada hari ini.

Wahai rakan GPI sekalian, apa khabar? moga semuanya berada dalam kerahmatan Allah dan sentiasa bersemangat untuk berjuang bagi memartabat anak bangsa disamping memperkasa GPI. Untuk pengetahuan semua GPI, kami di UOD dan PEKDIS akan menganjurkan satu program istimewa pada bulan Julai 2010 ini.

Program yang dimaksudkan ialah 'Kursus Tahsin Al-Quran' yang ditawarkan khusus untuk Guru Pendidikan Islam JPN Pahang. Kursus ini akan dijalankan pada 16 - 18 Julai 2010 bertempat di Kompleks Rakan Muda Daerah Maran. Surat makluman serta iklan berkaitan kursus ini telah pun dihantar ke PPD untuk dipanjangkan ke sekolah-sekolah di daerah masing-masing. Jika masih belum menerimanya suka saya menjelaskan disini beberapa perkara berkaitan pelaksanaan kursus tersebut:

Tarikh : 16 - 18 Julai 2010 (Jumaat - Ahad)
Tempat : Kompleks Rakan Muda Daerah Maran.
Pembimbing : Ustaz Lokman bin Isa (Qari Pahang 2010) dan
                     Encik Zulhasyimi bin Hj Mohd Yunus  (Qari  Pahang Tahun 2000, 2002, 2005 dan 2007)
 Yuran Penyertaan : RM65.00 seorang (Bayaran penginapan dan makan)

Kepada yang berminat bolehlah mendapatkan borang penyertaan daripada Penyelia Pendidikan Islam, PPD masing-masing. Tarikh tutup penerimaan borang penyertaan ialah pada 9 Julai 2010. Penyertaan terhad kepada 40 peserta sahaja. Bertindak segera.

Sekian untuk kali ini... bertemu lagi... insyaallah.

HAMIZI



Sabtu, 20 Februari 2010

CERAMAH PEMANTAPAN AKIDAH

Pada 19 Februari 2010 baru-baru ini, Unit Operasi Dakwah dengan jerjasama JK Suaru Al-Falah JPN Pahang dan BAKSU telah menganjurkan ceramah khas pemantapan akidah untuk semua warga JPN Pahang. Penceramah jemputan yang diundang untuk menyampaikan ceramah pada hari tersebut ialah Sahibus Samahah Dato' Abdul Rahman bin Othman, Mufti Negeri Pahang Darul Makmur. Antara isu pemantapan akidah yang disentuh oleh beliau dalam ceramahnya ialah, isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan fatwa terkini mengenai rokok.

Majlis ceramah tersebut turut dihadiri oleh Dato' Abdul Aziz bin Abdul Latif, Pengarah Pelajaran Pahang, Tuan haji Abdul Hamid bin Abu Bakar, Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, dan Tuan Haji Abdul Rauf bin Jali, KPP BTPN, disamping barisan Ketua Sektor dan pegawai-pegawai JPNP. Majlis bermula seawal jam 8.00 pagi. Sebelum sesi ceramah, majlis telah dimulakan dengan bacaan yasin yang dipimpin oleh Tuan Haji Ishak bin Othman, Penolong Pengarah SPI. Majlis berakhir pada jam 9.40 pagi.



 




Selasa, 9 Februari 2010

MULTAQA GURU PENDIDIKAN ISLAM 2010

Assalamualaikum... Selamat tahun baru 2010. Semoga tahun ini kita warga pendidikan Islam akan lebih cemerlang lagi. Untuk makluman semua program terkini Unit Operasi Dakwah di awal tahun baru ini ialah 'Mulataqa GPI 2010'. Program ini berbentuk siri jelajah oleh kepimpinan Sektor Pendidikan Islam ke seluruh daerah di negeri Pahang dengan hasrat untuk bertemu dengan seluruh Guru Pendidikan Islam. Antara objektif program ini ialah untuk merapatkan ukhuwwah serta mengukuhkan jamaah di kalangan GPI Pahang. Disamping itu multaqa ini juga diharap mampu meningkatkan komitmen dan kerjasama di kalangan GPI di daerah dalam usaha untuk merealisasikan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar. Juga diharapkan program ini akan dapat meningkatkan motivasi diri GPI untuk membina kecemerlangan diri dan organisasi.

Alhamdulillah sehingga kini, UOD bersama kepimpinan SPI telah menjelajah ke empat daerah iaitu daerah Bentong pada 1/2/2010 (bertempat di SMK Seri Bentong), daerah Raub pada 2/2/2010 (bertempat di SMK Gali), daerah Maran pada 8/2/2010 (bertempat di SMK Jengka Pusat 2) dan di daerah Pekan pada 9/2/2010 (bertempat di SMK Seri Pekan)

Berikut dipaparkan sebahagian gambar-gambar sekitar 'Multaqa GPI' di daerah Bentong dan Raub. Bagi daerah lain, insyaallah akan dipaparkan kemuadian. Wassalam.

 












Rabu, 30 Disember 2009

PELANCARAN BUKU TERBITAN UOD

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana hasrat Unit Operasi Dakwah ingin menerbitkan bahan dakwah untuk edaran ke sekolah-sekolah di bawah JPN Pahang akhirnya terlaksana. Berkat komitmen semua pegawai di unit ini, kami telah berjaya menerbitkan dua buah buku iaitu, buku 'Panduan Bacaan Doa Harian' dan buku 'Panduan Asas Pengurusan Dakwah Di Sekolah'.

Majlis pelancaran buku ini telah diadakan bersempena dengan jamuan akhir tahun Sektor Pendidikan Islam di Kafetaria BTPN Pahang pada 22 Disember 2009 yang lalu. Pelancaran kedua-dua buah buku ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd Nor bin Md Tahir, Ketua Sektor Pendidikan Islam, JPN Pahang.

Buku-buku ini akan diedarkan ke semua sekolah rendah dan menengah dinegeri Pahang dengan harapan ianya boleh dijadikan panduan oleh Guru Pendidikan Islam dalam merancang dan melaksanakan aktiviti dakwah di sekolah masing-masing.

Bagi pihak UOD, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua jemputan yang hadir ke majlis pelancaran buku tersebut terutama Tuan Ketua Sektor, Tuan Ketua Penolong Pengarah, Ketua Unit UPPI dan Ketua Unit IPA. Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis tersebut.

Dengan kerjasama dan sokongan padu daripada semua pihak di SPI dan PPD telah menyuntik semangat kepada semua ahli kami untuk meneruskan usaha penerbitan bahan dakwah pada masa akan datang. Sama-samalah kita mendoakan agar hasrat murni ini akan diperkenankan oleh Yang Maha Esa demi menyemarakkan dan memperkasakan dakwah de sekolah-sekolah di negeri Pahang ini. Insyaallah...
Wassalam...



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Selasa, 17 November 2009

BENGKEL PEMURNIAN BAHAN DAKWAH

KUANTAN: 17 Nov. 2009. Unit Operasi Dakwah SPI telah mengadakan bengkel pemurnian bahan dakwah / khutbah Jumaat bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pahang, Jalan Beserah pada 16 - 17 November 2009. Bengkel ini merupakan lanjutan kepada bengkel penulisan bahan dakwah yang telah diadakan di Hotel Seri Malaysia Temerlpoh pada 3 - 4 November 2009 yang lalu. Tiga bahan utama yang dimurnikan dalam bengkel ini ialah teks khutbah jumaat untuk kegunaan tahun 2010, panduan kerohanian pelajar asrama dan bahan tazkirah untuk pelajar.
Seramai 21 orang panel penulis dakwah yang terdiri daripada penyelia Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah dan guru-guru Pendidikan Islam, Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan yang terpilih telah hadir untuk melaksanakan bengkel ini.
Bahan dakwah yang dihasilkan ini adalah untuk edaran ke sekolah-sekolah di seluruh negeri Pahang pada tahun 2010 akan datang. Sementara teks khutbah Jumaat pula adalah untuk dibaca sempena sambutan hari guru, musim peperiksaan dan sempena cuti penggal persekolahan 2010.
Projek penulisan dakwah ini merupakan sebahagian daripada usaha Unit Operasi Dakwah dalam menyediakan bahan dakwah untuk membantu guru-guru di sekolah semasa melaksanakan program dan aktiviti dakwah. Semoga usaha murni ini diberkati Allah... Amin.

Gambar-gambar sekitar bengkel pemurnian penulisan dakwah.



 

 

 

 

 

 





Isnin, 12 Oktober 2009

MESYUARAT AGUNG PEKDIS PAHANG 2009

TEMERLOH, 10 Okt. 2009: Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-Sekolah Malaysia cawangan Pahang (PEKDIS) telah mengadakan mesyuarat agung ke-3 pada 10 Oktober 2009 bertempat di Hotel Seri Malaysia Temerloh. Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 2.00 petang itu telah berlangsung dalam suasana yang cukup harmoni.

Seramai 91 orang ahli yang terdiri daripada pegawai-pegawai di Sektor Pendidikan Islam, penyelia-penyelia Unit Pendidikan Islam PPD seluruh Pahang dan wakil Guru Pendidikan Islam daripada setiap daerah telah hadir ke mesyuarat agung tersebut. Mesyuarat Agung kali ini telah dirasmikan oleh Yang Di Pertua PEKDIS Kebangsaan merangkap Timbalan Pengarah Operasi Dakwah, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia, Tuan Haji Abdullah bin Md Din.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengingatkan supaya semua ahli PEKDIS mesti mempunyai semangat jihad yang tinggi demi untuk memperkasakan pertubuhan ini agar setanding dengan pertubuhan kebajikan yang lain. Disamping itu beliau juga berharap supaya setiap ahli sedia untuk menyumbang bagi memperkukuhkan dana PEKDIS. Beliau amat yakin sekiranya PEKDIS dapat digerakkan dengan sebaiknya, segala isu yang berkaitan dengan kebajikan GPI khususnya mampu ditangani dan diselesaikan.

Bersempena dengan mesyuarat agung ini juga, satu ceramah khas berkaitan tanggungjawab dan peranan GPI telah berjaya diadakan. Slot ceramah khas ini telah disampaikan sediri oleh Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Pahang.