Rabu, 23 Jun 2010

AKTIVITI BULAN JULAI

Assalamualaikum! Sudah agak lama juga saya tidak menulis di laman blog ini dek kerana kekangan masa dan hambatan tugas yang tidak putus-putus. Tambahan pula kehilangan laptop menyebabkan ruang masa untuk saya mencoret di ruangan ini amat terbatas. Semua kerja yang melibatkan menaip hanya boleh dilakukan di pejabat sahaja. Namun demikian demi tanggungjawab menyampaikan maklumat terkini daripada Unit Operasi Dakwah dan juga info PEKDIS, sya gagahi juga untuk menulis pada hari ini.

Wahai rakan GPI sekalian, apa khabar? moga semuanya berada dalam kerahmatan Allah dan sentiasa bersemangat untuk berjuang bagi memartabat anak bangsa disamping memperkasa GPI. Untuk pengetahuan semua GPI, kami di UOD dan PEKDIS akan menganjurkan satu program istimewa pada bulan Julai 2010 ini.

Program yang dimaksudkan ialah 'Kursus Tahsin Al-Quran' yang ditawarkan khusus untuk Guru Pendidikan Islam JPN Pahang. Kursus ini akan dijalankan pada 16 - 18 Julai 2010 bertempat di Kompleks Rakan Muda Daerah Maran. Surat makluman serta iklan berkaitan kursus ini telah pun dihantar ke PPD untuk dipanjangkan ke sekolah-sekolah di daerah masing-masing. Jika masih belum menerimanya suka saya menjelaskan disini beberapa perkara berkaitan pelaksanaan kursus tersebut:

Tarikh : 16 - 18 Julai 2010 (Jumaat - Ahad)
Tempat : Kompleks Rakan Muda Daerah Maran.
Pembimbing : Ustaz Lokman bin Isa (Qari Pahang 2010) dan
                     Encik Zulhasyimi bin Hj Mohd Yunus  (Qari  Pahang Tahun 2000, 2002, 2005 dan 2007)
 Yuran Penyertaan : RM65.00 seorang (Bayaran penginapan dan makan)

Kepada yang berminat bolehlah mendapatkan borang penyertaan daripada Penyelia Pendidikan Islam, PPD masing-masing. Tarikh tutup penerimaan borang penyertaan ialah pada 9 Julai 2010. Penyertaan terhad kepada 40 peserta sahaja. Bertindak segera.

Sekian untuk kali ini... bertemu lagi... insyaallah.

HAMIZI



Sabtu, 20 Februari 2010

CERAMAH PEMANTAPAN AKIDAH

Pada 19 Februari 2010 baru-baru ini, Unit Operasi Dakwah dengan jerjasama JK Suaru Al-Falah JPN Pahang dan BAKSU telah menganjurkan ceramah khas pemantapan akidah untuk semua warga JPN Pahang. Penceramah jemputan yang diundang untuk menyampaikan ceramah pada hari tersebut ialah Sahibus Samahah Dato' Abdul Rahman bin Othman, Mufti Negeri Pahang Darul Makmur. Antara isu pemantapan akidah yang disentuh oleh beliau dalam ceramahnya ialah, isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan fatwa terkini mengenai rokok.

Majlis ceramah tersebut turut dihadiri oleh Dato' Abdul Aziz bin Abdul Latif, Pengarah Pelajaran Pahang, Tuan haji Abdul Hamid bin Abu Bakar, Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, dan Tuan Haji Abdul Rauf bin Jali, KPP BTPN, disamping barisan Ketua Sektor dan pegawai-pegawai JPNP. Majlis bermula seawal jam 8.00 pagi. Sebelum sesi ceramah, majlis telah dimulakan dengan bacaan yasin yang dipimpin oleh Tuan Haji Ishak bin Othman, Penolong Pengarah SPI. Majlis berakhir pada jam 9.40 pagi.



 




Selasa, 9 Februari 2010

MULTAQA GURU PENDIDIKAN ISLAM 2010

Assalamualaikum... Selamat tahun baru 2010. Semoga tahun ini kita warga pendidikan Islam akan lebih cemerlang lagi. Untuk makluman semua program terkini Unit Operasi Dakwah di awal tahun baru ini ialah 'Mulataqa GPI 2010'. Program ini berbentuk siri jelajah oleh kepimpinan Sektor Pendidikan Islam ke seluruh daerah di negeri Pahang dengan hasrat untuk bertemu dengan seluruh Guru Pendidikan Islam. Antara objektif program ini ialah untuk merapatkan ukhuwwah serta mengukuhkan jamaah di kalangan GPI Pahang. Disamping itu multaqa ini juga diharap mampu meningkatkan komitmen dan kerjasama di kalangan GPI di daerah dalam usaha untuk merealisasikan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar. Juga diharapkan program ini akan dapat meningkatkan motivasi diri GPI untuk membina kecemerlangan diri dan organisasi.

Alhamdulillah sehingga kini, UOD bersama kepimpinan SPI telah menjelajah ke empat daerah iaitu daerah Bentong pada 1/2/2010 (bertempat di SMK Seri Bentong), daerah Raub pada 2/2/2010 (bertempat di SMK Gali), daerah Maran pada 8/2/2010 (bertempat di SMK Jengka Pusat 2) dan di daerah Pekan pada 9/2/2010 (bertempat di SMK Seri Pekan)

Berikut dipaparkan sebahagian gambar-gambar sekitar 'Multaqa GPI' di daerah Bentong dan Raub. Bagi daerah lain, insyaallah akan dipaparkan kemuadian. Wassalam.