Isnin, 12 Oktober 2009

MESYUARAT AGUNG PEKDIS PAHANG 2009

TEMERLOH, 10 Okt. 2009: Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-Sekolah Malaysia cawangan Pahang (PEKDIS) telah mengadakan mesyuarat agung ke-3 pada 10 Oktober 2009 bertempat di Hotel Seri Malaysia Temerloh. Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 2.00 petang itu telah berlangsung dalam suasana yang cukup harmoni.

Seramai 91 orang ahli yang terdiri daripada pegawai-pegawai di Sektor Pendidikan Islam, penyelia-penyelia Unit Pendidikan Islam PPD seluruh Pahang dan wakil Guru Pendidikan Islam daripada setiap daerah telah hadir ke mesyuarat agung tersebut. Mesyuarat Agung kali ini telah dirasmikan oleh Yang Di Pertua PEKDIS Kebangsaan merangkap Timbalan Pengarah Operasi Dakwah, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia, Tuan Haji Abdullah bin Md Din.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengingatkan supaya semua ahli PEKDIS mesti mempunyai semangat jihad yang tinggi demi untuk memperkasakan pertubuhan ini agar setanding dengan pertubuhan kebajikan yang lain. Disamping itu beliau juga berharap supaya setiap ahli sedia untuk menyumbang bagi memperkukuhkan dana PEKDIS. Beliau amat yakin sekiranya PEKDIS dapat digerakkan dengan sebaiknya, segala isu yang berkaitan dengan kebajikan GPI khususnya mampu ditangani dan diselesaikan.

Bersempena dengan mesyuarat agung ini juga, satu ceramah khas berkaitan tanggungjawab dan peranan GPI telah berjaya diadakan. Slot ceramah khas ini telah disampaikan sediri oleh Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Pahang.








1 ulasan:

  1. Alhamdulillah dan syabas PEKDIS negeri telah dapat merealisasikan kehendak pusat dan ahli, agar pertubuhan ini bergerak dengan lebih aktif dalam penganjuran aktivitinya. Yang lebih pastinya bagaimana untuk menarik perhatian guru-guru Pendidikan Islam untuk menjadi ahli secara menyeluruh. Kerjasama melalui kesedaran semua pihak seharusnya menjadi keutamaan jika sekiranya mahukan PEKDIS yang berusia semuda ini menjadi kuat dan disegani. Diperingkat pusat, negeri, dan cawangan kenalah bekerja dengan lebih keras lagi untuk terus meyakinkan guru Pendidikan Islam menyertai dengan menjadi ahli. Penjelasan yang holistik dan bermaklumat perlulah disebar luaskan kepada GPI di seluruh Pahang dengan bersungguh-sungguh, penuh keikhlasan tanpa berdolak dalik lagi. Saya menyeru agar soal bayaran yang dikenakan tidak menjadi isu besar atau perkara yang boleh melemahkan kita, seterusnya menggagalkan cita-cita murni orang terdahulu yang telah banyak berjasa dan memperjuangkannya.Tanpa mengira masa, wang ringgit dan buah fikiran mereka demi kebajikan ahli. Usah persoalkan perkara remeh temeh yang membelengu diri yang boleh membawa kepada rugi dan kecewa kepada generasi GPI pada masa akan datang. "Jika sekiranya setiap (lebih/kurang)60,000 GPI seluruh negara menfaatkan bayaran kebajikan mereka sebanyak RM50.00.setahun".. menurut Abdullah Mad Din, Timbalan Pengarah Operasi Dakwah, Bahagian Pendidikan Islam KPM semasa merasmikan mesyuarat agung tersebut, dan "dah berapa jumlahnya yang kita ada". Kita telah ada tabungan yang besar yang sudah tentunya boleh digunakan untuk kebajikan ahli dalam apa sahaja.

    BalasPadam