Isnin, 12 Oktober 2009

MESYUARAT AGUNG PEKDIS PAHANG 2009

TEMERLOH, 10 Okt. 2009: Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-Sekolah Malaysia cawangan Pahang (PEKDIS) telah mengadakan mesyuarat agung ke-3 pada 10 Oktober 2009 bertempat di Hotel Seri Malaysia Temerloh. Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 2.00 petang itu telah berlangsung dalam suasana yang cukup harmoni.

Seramai 91 orang ahli yang terdiri daripada pegawai-pegawai di Sektor Pendidikan Islam, penyelia-penyelia Unit Pendidikan Islam PPD seluruh Pahang dan wakil Guru Pendidikan Islam daripada setiap daerah telah hadir ke mesyuarat agung tersebut. Mesyuarat Agung kali ini telah dirasmikan oleh Yang Di Pertua PEKDIS Kebangsaan merangkap Timbalan Pengarah Operasi Dakwah, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia, Tuan Haji Abdullah bin Md Din.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengingatkan supaya semua ahli PEKDIS mesti mempunyai semangat jihad yang tinggi demi untuk memperkasakan pertubuhan ini agar setanding dengan pertubuhan kebajikan yang lain. Disamping itu beliau juga berharap supaya setiap ahli sedia untuk menyumbang bagi memperkukuhkan dana PEKDIS. Beliau amat yakin sekiranya PEKDIS dapat digerakkan dengan sebaiknya, segala isu yang berkaitan dengan kebajikan GPI khususnya mampu ditangani dan diselesaikan.

Bersempena dengan mesyuarat agung ini juga, satu ceramah khas berkaitan tanggungjawab dan peranan GPI telah berjaya diadakan. Slot ceramah khas ini telah disampaikan sediri oleh Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Pahang.








Ahad, 11 Oktober 2009

ZIARAH DAKWAH

ISNIN, 5 Okt. 2009: Ketua Unit Operasi Dakwah, Tuan Haji Ahmad Hamizi bin Abu Hassan bersama Ustaz Roslan bin Mohd Yunus telah melakukan ziarah dakwah ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Lalang, Temerloh. Tujuan utama program ziarah ini adalah untuk bertemu dan bersua muka dengan Guru Pendidikan Islam (GPI) serta mendapatkan gambaran sebenar berkaitan perancangan dan pelaksanaan program dakwah di sekolah ini.

Hasil pertemuan selama satu jam dengan semua GPI yang hadir pada hari tersebut, iaitu seramai 13 orang (seorang tidak hadir - bercuti), Unit Operasi Dakwah sangat berpuas hati dengan semangat kerjasama serta iltizam tinggi yang ditunjukkan oleh mereka dalam merangka dan melaksanakan aktiviti dakwah di sekolah ini. Antara hasil yang dapat dilihat ialah kejayaan mereka membimbing murid-murid dalam tilawah al-quran sehingga memungkinkan seramai 114 orang murid daripada tahun 4, 5 dan 6 telah berjaya 'Khatam Al-Quran' pada tahun ini. Sehubungan itu majlis khatam al-quran khusus untuk murid-murid ini telah diadakan oleh pihak sekolah pada 1 Oktober 2009 yang lalu, sebagai pengiktirafan kepada murid yang berjaya, disamping sebagai motivasi kepada murid-murid lain.

Program ziarah dakwah ini merupakan salah satu daripada usaha Unit Operasi Dakwah untuk mendekati dan bersama GPI di sekolah dalam usaha memartabat serta memperkasakan dakwah di sekolah. Hal ini adalah kerana sasaran dakwah yang paling utama ialah disekolah. Sehubungan itu program ini akan diteruskan bagi memastikan semua GPI yang merupakan kelompok dibarisan hadapan dalam pelaksanaan dakwah sentiasa mendapat suntikan semangat dan info terkini berkaitan aktiviti dan pendekatan dakwah di sekolah. Sama-samalah kita berdoa agar usaha dakwah untuk membawa murid-murid yang berada di bawah jagaan kita ini menjadi 'Insan Soleh' diredhai dan diberkati Alah s.w.t. Insyaallah...




Barisan Guru Pendidikan Islam SK Tanjung Lalang




Sedang mendengar info dakwah daripada KU UOD



KU UOD bersama En. Mohd Nor, Guru Besar SKTL di Bilik j-QAF