Sabtu, 13 Jun 2009

LATIHAN DAN PELAYARAN BERSAMA KAPAL MARITIM

TANJUNG GELANG: Pada 4 dan 5 Jun 2009 yang lalu, seramai 50 orang warga JPN Pahang telah mengikuti latihan dan pelayaran bersama kapal KM Langkawi (MARITIM) daripada Pelabuhan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan ke Pulai Tioman, Rompin. Latihan dan pelayaran warga JPN Pahang ini telah diketuai sendiri oleh Tuan Haji Abdul Hamid bin Abu Bakar, Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang. Pegawai-pegawai lain yang terlibat ialah Ketua Sektor-Ketua Sektor, Pegawai Pelajaran Daerah dan Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah seluruh Pahang serta wakil sektor dan unit di JPN Pahang. Sektor Pendidikan Islam telah diwakili oleh Ketua Sektor dan Ketua Unit Operasi Dakwah.

Pelayaran yang memakan masa selama 7 jam (sehala) itu telah diisi dengan beberapa aktiviti antaranya ialah taklimat khas mengenai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), lawatan ke seluruh bahagaian kapal, solat berjamaah (jamak dan qasar) di ruang pendaratan helikopter dan acara ramah mesra bersama anak kapal.

Gambar-gambar semasa pelayaran.











MAJLIS TILAWAH AL-QURAN KPM PKT. NEGERI PAHANG

Kuantan: Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan telah mengelolakan Majlis Tilawah Al-Quran KPM peringkat negeri Pahang pada 1 hingga 3 Jun 2009 yang lalu. Majlis tersebut telah diadakan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Pahang. Seramai 10 qari dan 9 qariah telah mengambil bahagian dalam majlis tersebut. Upacara perasmian penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YH Dato' Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Latiff, Pengarah Pelajaran Pahang. Bahagaian lelaki (qari) telah dimenangi oleh Encik Lukman bin Isa yang mewakili daerah Pekan, sementara Puan Siti Esah wakil daerah Bentong dipilih sebagai johan bahagian prempuan (qariah). Kedua-dua peserta (johan lelaki dan perempuan) akan mewakili JPN Pahang ke Majlis Tilawah Al-Quran KPM peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Negeri Sabah pada bulan Julai 2009 akan datang.

Berikut adalah gambar-gambar sekitar MTQ KPM yang diadakan di BTPN Pahang tersebut.


Pertandingan dijalankan di Dewan Besar BTPN Pahang


Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah


Johan Qari dan Qariah JPN Pahang

Bersama kita mendoakan agar wakil JPN Pahang ini mampu menggalas dan membawa cabaran di peringkat kebangsaan nanti serta berupaya menghadiahkan kejuaraan kepada warga pendidikan di negeri Pahang ini. Insyaallah. Amin...







Sabtu, 30 Mei 2009

KURSUS PENGURUSAN DAKWAH


Pada 12-14 Mei 2009 yang lalu, telah diadakan Kursus Pengurusan Dakwah khusus kepada Guru Pendidikan Islam bertempat di Hotel Seri Malaysia Temerloh. Seramai 44 orang peserta telah hadir ke kursus tersebut (4 orang daripada setiap daerah). Empat tajuk ceramah telah dibentangkan di kursus tersebut iaitu 'Ke Arah Memperkasa Pengurusan Dakwah' oleh En. Sudar bin Kiman (KPP Sektor Jaminan Kualiti, JPN Pahang), 'Perancangan Strategik Dakwah' oleh Tn. Haji Ahmad Hamizi bin Abu Hassan (Ketua Unit Operasi Dakwah), 'Kaedah dan Pendekatan Dakwah Berkesan' oleh Tn. Haji Ishak bin Othman (Penolong Pengarah SPI) dan 'Iklim Dinie' oleh En. Roslan bin Mohd Yunus (Penyelia Kanan SPI). Peserta juga telah dilibatkan dengan sesi bengkel yang dikendalikan oleh En. Roslan bin Mohd Yunus. Perasmian penutupan dan penyampaian sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh Ketua Unit Operasi Dakwah, Sektor Pendidikan Islam, Tn. Haji Ahmad hamizi bin abu Hassan.

Rabu, 27 Mei 2009

SALAM DAKWAH

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji hanya layak bagi Allah s.w.t. tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga baginda.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas taufiq dan hidayahNya laman blog Unit Operasi Dakwah ini dapat direalisasikan. Saya berdoa agar Allah sentiasa memberi kekuatan kepada kami di unit ini untuk terus mengendalikan laman blog ini secara positif dan istiqomah dengan matlamat dapat menyebarkan segala maklumat berkaitan program dan aktiviti unit operasi dakwah yang dirancang sepanjang tahun.

Terlebih dahulu, suka saya memperkenalkan Unit Operasi Dakwah, Sektor Pendidikan Islam, JPN Pahang ini kepada para pengunjung sekalian agar pertemuan kita selepas ini lebih mesra dan bermakna, bak kata pepatah melayu, "tak kenal maka tak cinta".

Unit Operasi Dakwah merupakan salah satu daripada tiga unit yang terdapat di Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Pahang. Unit ini dianggotai oleh lima orang pegawai, iaitu terdiri daripada seorang ketua unit, dua orang penolong pengarah dan dua orang penyelia kanan. Unit ini bertanggungjawab merancang, menyelaras, melaksana dan memantau segala program dan aktiviti berkaitan dakwah dan kepimpinan, pengembangan syiar Islam, pengukuhan budaya dan nilai Islam serta kawalan akidah dan pemikiran Islam. Sementara kumpulan sasaran bagi program dan aktiviti unit operasi dakwah ini ialah semua warga pendidikan di peringkat negeri termasuk pegawai di JPNP dan PPD, para guru, staf sokongan di JPNP, PPD dan sekolah serta para pelajar.

Disamping penyebaran maklumat berkaitan program dan aktiviti, laman blog ini juga diharapkan mampu menjadi medan dakwah yang relevan dan berkesan dalam usaha membangunkan 'modal insan' gemilang khususnya dikalangan pelajar. Sehubungan itu pandangan, cadangan dan idea daripada para pengunjung laman bolg ini khususnya di kalangan Guru Pendidikan Islam amat dialu-alukan. Diharapkan segala pandangan itu nanti mampu menambahbaik program dan aktiviti sedia ada ke arah memartabat dan memperkasa kerja-kerja dakwah.

Setakat ini dahulu untuk pertemuan kali ini. Sehingga bertemu lagi dalam catatan akan datang, sambutlah salam dakwah daripada kami di Unit Operasi Dakwah, JPN Pahang.

Wassalam.

Haji Ahmad Hamizi Abu Hassan
Ketua Unit Operasi Dakwah