Rabu, 30 Disember 2009

PELANCARAN BUKU TERBITAN UOD

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana hasrat Unit Operasi Dakwah ingin menerbitkan bahan dakwah untuk edaran ke sekolah-sekolah di bawah JPN Pahang akhirnya terlaksana. Berkat komitmen semua pegawai di unit ini, kami telah berjaya menerbitkan dua buah buku iaitu, buku 'Panduan Bacaan Doa Harian' dan buku 'Panduan Asas Pengurusan Dakwah Di Sekolah'.

Majlis pelancaran buku ini telah diadakan bersempena dengan jamuan akhir tahun Sektor Pendidikan Islam di Kafetaria BTPN Pahang pada 22 Disember 2009 yang lalu. Pelancaran kedua-dua buah buku ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd Nor bin Md Tahir, Ketua Sektor Pendidikan Islam, JPN Pahang.

Buku-buku ini akan diedarkan ke semua sekolah rendah dan menengah dinegeri Pahang dengan harapan ianya boleh dijadikan panduan oleh Guru Pendidikan Islam dalam merancang dan melaksanakan aktiviti dakwah di sekolah masing-masing.

Bagi pihak UOD, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua jemputan yang hadir ke majlis pelancaran buku tersebut terutama Tuan Ketua Sektor, Tuan Ketua Penolong Pengarah, Ketua Unit UPPI dan Ketua Unit IPA. Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis tersebut.

Dengan kerjasama dan sokongan padu daripada semua pihak di SPI dan PPD telah menyuntik semangat kepada semua ahli kami untuk meneruskan usaha penerbitan bahan dakwah pada masa akan datang. Sama-samalah kita mendoakan agar hasrat murni ini akan diperkenankan oleh Yang Maha Esa demi menyemarakkan dan memperkasakan dakwah de sekolah-sekolah di negeri Pahang ini. Insyaallah...
Wassalam...