Khamis, 20 Ogos 2009

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADAN

Assalamualaikum... Bertemu kembali seluruh ahli keluarga GPI Pahang. Semoga anda semua berada dalam situasi yang mengembirakan selalu, sihat wal afiat dan masih bersemangat untuk meneruskan kerja dakwah... insyaallah.
Setahun telah berlalu, kini ramadan kembali menjelma dengan membawa sejuta rahmat. Disamping rahmat, ramadan juga adalah bulan keampunan. Sehubungan itu marilah sama-sama kita menghayatai kedatangan ramadan kali ini dengan melakukan peningkatan amal ibadah. Disamping melakukan amal ibadah peribadi, sebagai pendakwah kita juga diharapkan dapat mengajak sama ahli yang berada di bawah tanggungjawab kita untuk turut sama memperbanyakkan amal ibadah di bulan mulia ini. Antara sasaran dakwah utama kita di sekolah ialah anak-anak pelajar. Mereka amat dahagakan ilmu dan amalan mulia. Marilah sama-sama kita membimbing mereka untuk menghayati dan mengamalkan segala ibadah yang dituntut di bulan ramadan ini dengan sebaiknya. Moga-moga dengan bimbingan kita ini, mereka akan menjadi insan soleh... insyaallah.
Bagi merealisasikan impian ini, Unit Operasi Dakwah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Pahang telah melancarkan Program Ihya' Ramadan khas untuk seluruh warga pendidikan di negeri Pahang ini.Antara aktiviti yang dicadangkan dan akan dilaksanakan sepanjang bulan ramadan ini ialah:
1. Ceramah / Tazkirah Ramadan
2. Tadarrus Al-Quran
3. Khatam Al-Quran
4. Solat Sunat Tarawikh
5. Majlis Berbuka Puasa
6. Sambutan Nuzul Quran
7. Buletin / Risalah Ramadan
8. Infak Ramadan
Semua sekolah di negeri Pahang yang mempunyai murid Islam adalah diharapkan dapat merancang dan melaksanakan program Ihya Ramadan ini di sekolah masing-masing. Aktiviti yang dipaparkan di atas adalah cadangan daripada UOD, namun jika sekiranya pihak sekolah memikirkan ada aktiviti lain yang ingin dilaksanakan, pihak kami tidak menghalang ... teruskan, yang penting ianya memberi impak terbaik kepada warga di sekolah. Disamping itu pelaksanaan aktiviti yang dicadangkan di atas adalah tertakluk kepada kesesuaian dan kemampuan sekolah masing-masing.

Mudah-mudahan usaha murni kita ini diberkati oleh Allah s.w.t. Selamat berpuasa... Wassalam.