Sabtu, 30 Mei 2009

KURSUS PENGURUSAN DAKWAH


Pada 12-14 Mei 2009 yang lalu, telah diadakan Kursus Pengurusan Dakwah khusus kepada Guru Pendidikan Islam bertempat di Hotel Seri Malaysia Temerloh. Seramai 44 orang peserta telah hadir ke kursus tersebut (4 orang daripada setiap daerah). Empat tajuk ceramah telah dibentangkan di kursus tersebut iaitu 'Ke Arah Memperkasa Pengurusan Dakwah' oleh En. Sudar bin Kiman (KPP Sektor Jaminan Kualiti, JPN Pahang), 'Perancangan Strategik Dakwah' oleh Tn. Haji Ahmad Hamizi bin Abu Hassan (Ketua Unit Operasi Dakwah), 'Kaedah dan Pendekatan Dakwah Berkesan' oleh Tn. Haji Ishak bin Othman (Penolong Pengarah SPI) dan 'Iklim Dinie' oleh En. Roslan bin Mohd Yunus (Penyelia Kanan SPI). Peserta juga telah dilibatkan dengan sesi bengkel yang dikendalikan oleh En. Roslan bin Mohd Yunus. Perasmian penutupan dan penyampaian sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh Ketua Unit Operasi Dakwah, Sektor Pendidikan Islam, Tn. Haji Ahmad hamizi bin abu Hassan.

Rabu, 27 Mei 2009

SALAM DAKWAH

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji hanya layak bagi Allah s.w.t. tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga baginda.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas taufiq dan hidayahNya laman blog Unit Operasi Dakwah ini dapat direalisasikan. Saya berdoa agar Allah sentiasa memberi kekuatan kepada kami di unit ini untuk terus mengendalikan laman blog ini secara positif dan istiqomah dengan matlamat dapat menyebarkan segala maklumat berkaitan program dan aktiviti unit operasi dakwah yang dirancang sepanjang tahun.

Terlebih dahulu, suka saya memperkenalkan Unit Operasi Dakwah, Sektor Pendidikan Islam, JPN Pahang ini kepada para pengunjung sekalian agar pertemuan kita selepas ini lebih mesra dan bermakna, bak kata pepatah melayu, "tak kenal maka tak cinta".

Unit Operasi Dakwah merupakan salah satu daripada tiga unit yang terdapat di Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Pahang. Unit ini dianggotai oleh lima orang pegawai, iaitu terdiri daripada seorang ketua unit, dua orang penolong pengarah dan dua orang penyelia kanan. Unit ini bertanggungjawab merancang, menyelaras, melaksana dan memantau segala program dan aktiviti berkaitan dakwah dan kepimpinan, pengembangan syiar Islam, pengukuhan budaya dan nilai Islam serta kawalan akidah dan pemikiran Islam. Sementara kumpulan sasaran bagi program dan aktiviti unit operasi dakwah ini ialah semua warga pendidikan di peringkat negeri termasuk pegawai di JPNP dan PPD, para guru, staf sokongan di JPNP, PPD dan sekolah serta para pelajar.

Disamping penyebaran maklumat berkaitan program dan aktiviti, laman blog ini juga diharapkan mampu menjadi medan dakwah yang relevan dan berkesan dalam usaha membangunkan 'modal insan' gemilang khususnya dikalangan pelajar. Sehubungan itu pandangan, cadangan dan idea daripada para pengunjung laman bolg ini khususnya di kalangan Guru Pendidikan Islam amat dialu-alukan. Diharapkan segala pandangan itu nanti mampu menambahbaik program dan aktiviti sedia ada ke arah memartabat dan memperkasa kerja-kerja dakwah.

Setakat ini dahulu untuk pertemuan kali ini. Sehingga bertemu lagi dalam catatan akan datang, sambutlah salam dakwah daripada kami di Unit Operasi Dakwah, JPN Pahang.

Wassalam.

Haji Ahmad Hamizi Abu Hassan
Ketua Unit Operasi Dakwah